SOALAN LAZIM

SOALAN LAZIM

PENTAKSIRAN BILIK DARJAH BAGI MURID TAHAP I
  • Kenapa peperiksaan pertengahan dan akhir tahun Tahap I dimansuhkan?
Pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan dan akhir tahun bagi murid Tahap I dilakukan kerana ia adalah selaras dengan konsep pembelajaran yang berorientasikan perkembangan murid.
  • Apakah yang dimaksudkan dengan konsep pembelajaran yang berorientasikan perkembangan murid?
Pembelajaran yang berorientasikan perkembangan murid merujuk kepada pengajaran dan pembelajaran yang membina pengetahuan, kemahiran, karakter dan sahsiah murid secara menyeluruh kerana pada peringkat usia ini, pertumbuhan murid berkembang dengan pesat. Dalam tempoh ini, murid-murid berada pada tahap perkembangan semangat inkuiri yang sangat tinggi , mula bergaul dengan rakan sebaya dan mula memahami unsur-unsur pemikiran logik. Maka guru perlu merancang pengajaran yang berfokuskan murid, menyeronokkan dan bermakna agar mereka mencapai standard yang ditetapkan dalam penguasaan kompetensi asas. Di samping itu, murid diberi peluang belajar mengikut keupayaan masing-masing.
  • Adakah sesi PdP yang berkesan akan berlaku apabila peperiksaan pertengahan dan akhir tahun bagi murid Tahap I dimansuhkan?
Ya. Ini adalah kerana guru akan dapat memberi lebih fokus kepada PdP supaya semua murid dapat menguasai kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul serta mengamalkan nilai rutin harian seperti berterima kasih, baik hati, membantu guru dan lain-lain.
  • Apabila peperiksaan dimansuhkan , bagaimana pentaksiran dilaksanakan terhadap murid Tahap I?
Pentaksiran terhadap murid Tahap I akan menjadi lebih objektif kerana ia melihat kepada perkembangan murid secara lebih menyeluruh termasuk amalan nilai-nilai murni yang berbentuk rutin harian. Pentaksiran ini adalah pengukuhan kepada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang telah diperkenalkan mulai tahun 2011. Setiap guru perlu melaksanakan PBD mengikut subjek masing-masing. Tahap penguasaan murid ditentukan dengan menggunakan pentaksiran formatif dan sumatif yang dilaksanakan sepanjang tempoh pembelajaran melalui aktiviti seperti kuiz, permainan, main peranan, bercerita dan projek mudah.
  • Adakah kuiz, permainan, main peranan, bercerita dan projek mudah yang dinyatakan dalam Garis Panduan PBD bagi murid Tahap I mesti dilaksanakan bagi tujuan pentaksiran dalam setiap mata pelajaran?
Ya. Aktiviti seperti kuiz, permainan, main peranan, bercerita dan projek mudah adalah contoh aktiviti utama yang boleh digunakan. Walau bagaimanapun, guru juga boleh menjalankan PBD dengan memilih aktiviti lain yang bersesuaian.
  • Bolehkah guru mengadakan ujian seperti ujian topikal, bulanan atau diagnostik?
Boleh. Ia adalah salah satu kaedah pentaksiran perkembangan murid. Namun demikian ujian ini tidak boleh disetarakan. Maklumat daripada ujian boleh digunakan untuk membantu mempertingkatkan tahap penguasaan murid.
  • Adakah guru boleh mengenalpasti murid-murid yang tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira melalui PBD bagi murid Tahap 1?
Ya. PBD adalah pentaksiran yang berlaku secara berterusan dan melapor tahap penguasaan murid. Sekolah juga boleh menggunakan instrumen yang bersesuaian seperti instrumen saringan LINUS sedia ada atau lain-lain untuk menentusahkan murid yang tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Intervensi yang dilaksanakan mestilah mengikut keperluan dan keupayaan sekolah.
  • Bagaimanakah PBD bagi murid Tahap I dilaporkan?
PBD bagi murid Tahap I dilapor berdasarkan perkembangan pembelajaran secara menyeluruh merangkumi kemahiran, sikap dan nilai. Pencapaian murid dalam mata pelajaran dilapor dalam bentuk Tahap Penguasaan sebagaimana yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Di samping itu, guru perlu memberi ulasan tambahan mengenai sikap dan nilai pada ruang ulasan dalam templat Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah yang diisi secara luar talian. Pengisian templat ini boleh dirujuk dalam Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah terbitan tahun 2018 dan boleh dimuat turun dari laman sesawang Bahagian Pembangunan Kurikulum (http://bpk.moe.gov.my).
  • Adakah data PBD bagi setiap murid Tahap I perlu dikumpul oleh PPD/JPN/KPM?
Tidak. Data dan maklumat pentaksiran perkembangan murid diurus di peringkat sekolah sahaja.
  • Bolehkah markah ujian ditukar kepada tahap penguasaan murid?
Tidak boleh. Markah ujian adalah sebahagian daripada maklumat yang diguna untuk menentukan Tahap Penguasaan murid.
  • Bagaimanakah guru menentukan take-off value (TOV) bagi murid tahun 4 jika tidak ada peperiksaan tahun 3?
TOV murid Tahun 4 ditentukan berdasarkan Tahap Penguasaan murid semasa mereka di Tahun 3.
  • Adakah guru perlu mengisi tahap penguasaan murid bagi murid Tahap I dalam Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS)?
Tidak. Guru tidak perlu mengisi tahap penguasaan murid bagi murid Tahap I dalam Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS).
  • Adakah hasil kerja murid perlu disimpan secara berpusat atau disimpan oleh guru mata pelajaran masing-masing?
Hasil kerja murid dinilai sebagai bahan pentaksiran yang dijalankan dalam PdP. Sekolah yang akan menentukan cara penyimpanan
  • Adakah perlu ditubuhkan jawatan kuasa PBD tahap 1?
Tidak perlu. Pihak sekolah hanya perlu menggunakan Jawatankuasa PBS sedia ada tanpa perlu menubuhkan jawatankuasa baharu.
  • Bagaimana ibu bapa boleh mengetahui tahap pencapaian anak mereka?
Pelaporan PBD bagi murid Tahap I hendaklah dimaklumkan kepada ibu bapa sekurang-kurangnya dua kali setahun. Dengan ini, ibu bapa boleh mengetahui kekuatan dan kelemahan anak mereka dan menentukan bentuk sokongan yang boleh diberikan bagi memastikan perkembangan potensi, bakat, minat, kemahiran dan sahsiah murid dioptimumkan.
  • Kenapa murid Tahun 6 masih perlu menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)?
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah peperiksaan pusat. UPSR dilaksanakan bagi mata pelajaran Bahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil) serta mata pelajaran Sains dan Matematik. UPSR merupakan check point pertama dalam mengukur tahap pencapaian atau penguasaan akademik murid di peringkat rendah sebagai persediaan kepada pembelajaran di peringkat menengah. KPM memberi fokus terhadap penguasaan tahap minimum bagi semua murid sekolah rendah.
  • Bagaimana sekolah memastikan semua murid ditaksir dengan sewajarnya?
Guru-guru adalah kumpulan profesional yang beretika dan terlatih dalam memberi penilaian ke atas tahap penguasan murid. Mereka berupaya melaksanakan tanggungjawab profesional mereka dengan amanah dan penuh integriti. Ibu bapa pula harus meletakkan kepercayaan kepada guru dalam membuat pentaksiran terhadap anak mereka.

No comments:

Post a Comment